Nilai Semula Kadar Imbangan Dagangan Makanan Negara - Dr. Mohd Yusof Saari | Institute of Agricultural and Food Policy Studies
» ARTICLE » Nilai Semula Kadar Imbangan Dagangan Makanan Negara - Dr. Mohd Yusof Saari

Nilai Semula Kadar Imbangan Dagangan Makanan Negara - Dr. Mohd Yusof Saari

Isu kecukupan bekalan makanan negara mutakhir ini menjadi agenda utama perbincangan kebanyakkan penganalisis dan penggubal dasar terutama dalam konteks perdagangan bebas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik. Antara petunjuk utama kepada kadar kecukupan bekalan makanan adalah kadar imbangan dagangan.

Mengikut laporan rasmi, defisit imbangan dagangan makanan negara tidak menunjukkan perubahan ketara antara tahun 2010 dan 2014, iaitu meningkat pada kadar pertumbuhan purata sebanyak 8.9 peratus setahun.

Hal ini disumbang oleh eksport makanan yang meningkat pada kadar purata sebanyak 9 peratus daripada RM18.2 bilion pada 2010 kepada RM25.6 bilion pada 2014. Dalam tempoh sama, import makanan turut meningkat pada kadar purata 9 setahun, iaitu daripada RM30.3 billion kepada RM42.6 bilion.

Defisit di dalam imbangan dagangan makanan yang besar menunjukkan kadar kebergantungan tinggi kepada import untuk memenuhi keperluan permintaan makanan dalam negara. Bagaimanapun, perangkaan eksport dan import digunapakai untuk mengira imbangan dagangan makanan didapati terlebih anggar. Nilai eksport dan import yang dianalisis tidak mengasingkan nilai produk “eksport semula”.

Mengikut definisi Jabatan Perangkaan Malaysia, sesuatu produk dianggap sebagai eksport semula apabila ia dibawa keluar dari negara dalam keadaan seperti mana ia diimport tanpa mengalami sebarang perubahan rupa. Proses membungkus semula, menyisih atau menggred tidak dikira sebagai satu proses perubahan rupa. Ini bermakna produk eksport semula bukanlah untuk kegunaan domestik dan nilainya perlu diasingkan daripada jumlah keseluruhan eksport dan import makanan negara.

Apabila nilai eksport semula diasingkan daripada eksport dan import, didapati perangkaan sebenar eksport dan import makanan lebih rendah. Misalnya, nilai eksport sebenar pada 2014 adalah 7.9 peratus lebih rendah iaitu RM23.5 bilion berbanding RM25.6 bilion seperti dilaporkan. Nilai import sebenar pula adalah 4.9 peratus lebih rendah, iaitu RM40.8 bilion berbanding RM42.6 bilion.

Analisis mendapati pengaruh produk eksport semula adalah lebih besar ke atas nilai keseluruhan eksport makanan. Antara tahun 2010 dan 2014, produk eksport semula makanan meningkat pada kadar pertumbuhan purata sebanyak 28.7 peratus setahun, daripada RM0.8 bilion kepada RM2.1 bilion. Daripada keseluruhan nilai ekport semula makanan pada 2014, hampir 50% adalah disumbang oleh kumpulan barangan kopi, koko, teh dan rempah.

Peningkatan ketara aktiviti eksport semula ke atas produk makanan memberi dua implikasi. Pertama, ia tidak menyumbang kepada usaha untuk mengatasi masalah kecukupan pengeluaran makanan dalam negara. Kedua, ia adalah aktiviti perdagangan yang memberi sumbangan yang sangat kecil kepada nilai tambah negara.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 27 April 2016

Updated:: 11/09/2017 [zbaizura]

MEDIA SHARING

Institute of Agricultural and Food Policy Studies
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471075
0389432611
C1511298605