Pengaruh Harga Makanan Ke Atas Kos Sara Hidup - Dr. Mohd Yusof Saari | Institute of Agricultural and Food Policy Studies
» ARTICLE » Pengaruh Harga Makanan Ke Atas Kos Sara Hidup - Dr. Mohd Yusof Saari

Pengaruh Harga Makanan Ke Atas Kos Sara Hidup - Dr. Mohd Yusof Saari

Isu peningkatan kos sara hidup hangat diperkatakan masa kini dan dijangka menjadi salah satu fokus utama di dalam kerangka Budget 2017 yang akan diumumkan nanti. Kos sara hidup merujuk kepada jumlah perbelanjaan isirumah ke atas barangan dan perkhidmatan untuk mengekalkan taraf hidup. Semakin tinggi peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, semakin tinggi perbelanjaan yang diperlukan.

Kenaikan purata harga barangan dan perkhidmatan diukur dengan menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP). IHP disusun berdasarkan pungutan harga pengguna secara bulanan mengikut “bakul” tetap barangan dan perkhidmatan. Kategori “makanan dan minuman tidak beralkohol” mendominasi 30% daripada keseluruhan bakul perbelanjaan isirumah dan diikuti oleh kategori “perumahan, utiliti dan bahan api” sebanyak 24%.

Rencana ini menganalisis kepada persoalan adakah peningkatan harga “makanan dan minuman tidak beralkohol” mempengaruhi kos sara hidup di Malaysia. Berdasarkan data IHP yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), amat jelas sekali menunjukkan pergerakan IHP umum dipengaruhi oleh pergerakan di dalam IHP “makanan dan minuman tidak beralkohol”.

Walau bagaimanapun peratus peningkatan IHP “makanan dan minuman tidak beralkohol” adalah stabil. Pada tahun 2014 dan 2015, IHP hanya meningkat sebanyak 3.3% dan 3.7%. Peningkatan ketara dirasakan pada tahun 2008, iaitu sebanyak 8.8% dan melepasi paras 3% pada tahun 2009 dan 2011. Di antara Januari sehingga Jun 2016, IHP bagi kategori barangan ini telah meningkat sebanyak 2.4%.

Peningkatan IHP “perumahan, utiliti dan bahan api” juga menunjukkan trend yang stabil. Malahan penurunan IHP pada tahun 2015 berbanding 2014 dipengaruhi oleh penurunan di dalam IHP “perumahan, utiliti dan bahan api”.

Kos sara hidup dipengaruhi oleh tingkat harga dan upah. Jika peningkatan IHP umum adalah stabil, maka peningkatan kos sara hidup tentunya dipengaruhi oleh tingkat gaji dan upah. Perangkaan oleh DOSM menunjukkan berlaku penurunan purata gaji dan upah pada tahun 2015 sebanyak 3%.

Hampir kebanyakan industri menunjukkan kadar pertumbuhan purata gaji dan upah yang menyusut pada tahun 2015 berbanding 2014. Purata gaji dan upah industri perlombongan dan pengkuarian yang paling terkesan, bertumbuh pada kadar -12% pada tahun 2015 berbanding 35% pada tahun 2014. Hal ini dipengaruhi oleh penurunan di dalam harga minyak mentah asli di pasaran global. Industri-industri lain turut terkesan kerana pengaruh kuat rantaian nilai industri perlombongan minyak mentah.

Jangkaan peningkatan kadar kemiskinan bandar oleh sebahagian ahli ekonomi ada kewajarannya dan perlu dilihat secara serius. Hal ini kerana kadar pertumbuhan purata gaji dan upah isirumah di bandar menyusut daripada 8% pada tahun 2014 kepada 6% tahun 2015. Purata perbelanjaan isirumah di bandar pula 60% lebih tinggi berbanding dengan isirumah di luar bandar.

Apakah pilihan dasar yang ada untuk mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup? Dasar berkaitan dengan peningkatan tingkat gaji dan upah adalah agak sukar untuk dilaksanakan di dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi masa kini. Apatah lagi pertumbuhan ekonomi itu sendiri dipengaruhi oleh faktor luaran seperti nilai matawang Ringgit dan harga minyak mentah global.

Pilihan jangkamasa pendek ialah mengawal harga kumpulan barangan “makanan dan minuman tidak beralkohol” dan “perumahan, utiliti dan bahan api”. Pelbagai kaedah boleh dilakukan seperti meningkatkan pengeluaran domestik dan import bagi makanan dan menurunkan harga bahan api, bergantung kepada kesesuaian. Bagi penyelesaian jangkamasa panjang, strategi perlu terarah kepada pertumbuhan pendapatan melalui peningkatan KDNK dan pengagihan yang inklusif.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 16 Ogos 2016

Updated:: 11/09/2017 [zbaizura]

MEDIA SHARING

Institute of Agricultural and Food Policy Studies
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471075
0389432611
C1506196869