TPPA & Pekebun Kecil : Meminimumkan Impak - Dr. Mohd Yusof Saari | Institute of Agricultural and Food Policy Studies
» ARTICLE » TPPA & Pekebun Kecil : Meminimumkan Impak - Dr. Mohd Yusof Saari

TPPA & Pekebun Kecil : Meminimumkan Impak - Dr. Mohd Yusof Saari

Kesan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ke atas sektor pertanian terutamanya kepada  pekebun kecil sering kali menjadi topik perbincangan utama di kalangan penggubal dasar dan ahli akademik. Terdapat dua pandangan yang berbeza berkenaan isu ini.

Pandangan pertama berpendapat liberalisasi perdagangan melalui TPPA akan menggalakkan pengkhususan dan kecekapan penggunaan faktor-faktor pengeluaran. Akibat daripada persaingan daripada negara anggota TPPA, ekonomi hanya akan menumpukan kepada sektor-sektor yang produktif dan cekap. Ironinya, lebih baik kita mengimport beras daripada Vietnam jika kos pengimportan lebih murah berbanding dengan kos pengeluaran di Malaysia.

Pandangan kedua berpegang kepada tanggapan bahawa TPPA hanya memberi manfaat kepada firma berskala besar terutamanya firma milikan asing. Pekebun-pekebun kecil akan terkesan akibat daripada monopoli pasaran oleh firma berskala besar yang mempunyai rantaian nilai global mereka yang tersendiri.

Kedua-dua pandangan di atas adalah relevan. Apa yang diperlukan adalah strategi yang meminimumkan impak ke atas pekebun kecil dan dalam masa yang sama menggalakkan kecekapan ekonomi.

Kajian kami mendapati wujud rantaian nilai yang lemah di antara firma berskala besar dengan firma berskala kecil dan sederhana. Wujud kebergantungan yang tinggi di antara firma berskala kecil dan sederhana kepada firma berskala besar di dalam memperoleh bahan mentah. Sebaliknya, firma berskala besar lebih bergantung kepada import dan firma-firma berskala besar yang lain.

Kesan limpahan daripada liberalisasi perdagangan TPPA kepada pekebun kecil boleh dimaksimumkan dengan memperbaiki rantaian hubungan di antara firma berskala kecil dan sederhana dengan firma berskala besar. Terdapat beberapa pendekatan yang boleh dilakukan. Pertama, menggalakkan usaha sama di antara syarikat berkaitan kerajaan dan pekebun kecil di dalam pengeluaran makanan.  Buat masa ini, syarikat berkaitan kerajaan hanya terlibat di dalam pengeluaran komoditi pertanian. Kedua, menggalakkan penubuhan koperasi yang produktif di kalangan pekebun kecil seperti yang diamalkan di Belanda. Ketiga, mengadakan pembaharuan institusi agar dapat menyokong usaha permodenan pertanian.

Sementara itu, isu kecukupan bekalan makanan negara mutakhir ini menjadi agenda utama perbincangan oleh kebanyakan penganalisis dan penggubal dasar terutamanya dalam konteks perdagangan bebas TPPA. Salah satu penunjuk utama kepada kadar kecukupan bekalan makanan adalah kadar imbangan dagangan.

Mengikut laporan rasmi, defisit imbangan dagangan makanan negara tidak menunjukkan perubahan ketara antara tahun 2010 dan 2014, iaitu meningkat pada kadar pertumbuhan purata sebanyak 8.9 peratus setahun. Hal ini disumbang oleh eksport makanan yang meningkat pada kadar purata sebanyak 9.0 peratus daripada RM18.2 bilion pada tahun 2010 kepada RM25.6 bilion pada tahun 2014.

Dalam tempoh sama, import makanan turut meningkat pada kadar purata 9.0 peratus setahun, iaitu daripada RM30.3 bilion kepada RM42.6 bilion. Defisit di dalam imbangan dagangan makanan yang besar menunjukkan kadar kebergantungan yang tinggi kepada import untuk memenuhi keperluan permintaan makanan dalam negara.

Walaubagaimanapun, perangkaan eksport dan import yang diguna pakai untuk mengira imbangan dagangan makanan didapati terlebih anggar. Nilai eksport dan import yang dianalisis tidak mengasingkan nilai produk eksport semula. Mengikut definisi Jabatan Perangkaan Malaysia, sesuatu produk dianggap sebagai eksport semula apabila ia dibawa keluar dari negara dalam keadaan seperti mana ia diimport tanpa mengalami sebarang perubahan rupa. Proses membungkus semula, menyisih atau menggred tidak dikira sebagai satu proses perubahan rupa. Ini bermakna produk eksport semula bukanlah untuk kegunaan domestik dan nilainya perlu diasingkan daripada jumlah keseluruhan eksport dan import makanan negara.

Justeru, dasar berkaitan dengan aktiviti perdagangan produk eksport semula perlu diteliti kerana ia bukan sahaja memberi implikasi kepada isu kecukupan makanan, malah membabitkan ekonomi keseluruhannya.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Harian Metro pada 2 Mei  2016

Updated:: 11/09/2017 [zbaizura]

MEDIA SHARING

Institute of Agricultural and Food Policy Studies
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471075
0389432611
C1506371751