Pengaruh Harga Makanan Ke Atas Sara Hidup | Institute of Agricultural and Food Policy Studies
» NEWS » Pengaruh Harga Makanan ke atas Sara Hidup

Pengaruh Harga Makanan ke atas Sara Hidup

ISU peningkatan kos sara hidup sentiasa diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat dan dijangka menjadi salah satu fokus utama kerajaan dalam merangka Bajet 2017 yang akan diumumkan kelak. Kos sara hidup merujuk kepada jumlah per­belanjaan isi rumah ke atas barangan dan perkhidmatan untuk mengekalkan taraf hidup. Semakin tinggi peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, semakin tinggi per­belanjaan yang diperlukan.

Kenaikan purata harga barangan dan perkhidmatan diukur dengan menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP). IHP disusun berdasarkan pungutan harga pengguna secara bulanan mengikut `bakul’ tetap bara­ngan dan perkhidmatan.

Kategori makanan dan minuman tidak beralkohol mendominasi 30 peratus daripada keseluruhan bakul perbelanjaan isi rumah dan diikuti oleh kategori perumahan, utiliti dan bahan api sebanyak 24 peratus.

Rencana ini menganalisis kepada persoalan adakah pe­ningkatan harga makanan dan minuman tidak beralkohol ini mempengaruhi kos sara hidup di Malaysia.

Berdasarkan data IHP yang dikeluarkan oleh Jabatan Pe­rangkaan Malaysia (DOSM), amat jelas sekali menunjukkan pergerakan IHP umum dipengaruhi oleh pergerakan di dalam IHP makanan dan minuman tidak beralkohol.

Walau bagaimanapun peratus peningkatan IHP makanan dan minuman tidak beralkohol adalah stabil. Pada tahun 2014 dan 2015, IHP hanya meningkat sebanyak 3.3 peratus dan 3.7 peratus.

Peningkatan ketara dirasakan pada 2008 iaitu sebanyak 8.8 peratus dan melepasi paras 3 peratus pada 2009 dan 2011. Di antara Januari sehingga Jun 2016, IHP bagi kategori bara­ngan ini telah meningkat sebanyak 2.4 peratus.

Peningkatan IHP perumahan, utiliti dan bahan api juga menunjukkan trend yang stabil. Malahan penurunan IHP pada 2015 berbanding 2014 dipe­ngaruhi oleh penurunan di dalam IHP perumahan, utiliti dan bahan api.

Kos sara hidup dipengaruhi oleh tingkat harga dan upah. Jika peningkatan IHP umum adalah stabil, maka peningkatan kos sara hidup tentunya dipengaruhi oleh tingkat gaji dan upah. Perangkaan oleh DOSM menunjukkan berlaku penurunan purata gaji dan upah pada 2015 sebanyak 3 peratus.

Hampir kebanyakan industri menunjukkan kadar pertumbuhan purata gaji dan upah yang menyusut pada 2015 ber­banding 2014. Purata gaji dan upah industri perlombongan dan pengkuarian yang paling terkesan, bertumbuh pada kadar 12 peratus pada 2015 berbanding 35 peratus pada 2014.

Hal ini dipengaruhi oleh pe­nurunan di dalam harga minyak mentah asli di pasaran global. Industri-industri lain turut terkesan kerana pengaruh kuat rantaian nilai industri perlombongan minyak mentah.

Jangkaan peningkatan kadar kemiskinan bandar oleh sebahagian ahli ekonomi ada kewajarannya dan perlu dilihat secara serius. Hal ini kerana kadar pertumbuhan purata gaji dan upah isi rumah di bandar menyusut daripada 8 peratus pada 2014 kepada 6 peratus 2015. Purata perbelanjaan isi rumah di bandar pula 60 peratus lebih tinggi berbanding dengan isi rumah di luar bandar.

Apakah pilihan dasar yang ada untuk mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup? Dasar berkaitan dengan peningkatan tingkat gaji dan upah adalah agak sukar untuk dilaksanakan di dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi masa kini. Apatah lagi pertumbuhan ekonomi itu sendiri di­pengaruhi oleh faktor luaran seperti nilai mata wang Ringgit dan harga minyak mentah global.

Pilihan jangka masa pendek adalah mengawal harga kumpulan barangan makanan dan minuman tidak beralkohol dan perumahan, utiliti dan bahan api.

Pelbagai kaedah boleh dilakukan seperti meningkatkan pengeluaran domestik dan import bagi makanan dan menurunkan harga bahan api, bergantung kepada kesesuaian.

Bagi penyelesaian jangka masa panjang, strategi perlu terarah kepada pertumbuhan pendapatan melalui peningkatan KDNK dan pengagihan yang inklusif.

Dr. Mohd. Yusof Saari,
Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia.


Updated:: [noorbaiti]

MEDIA SHARING

Institute of Agricultural and Food Policy Studies
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471075
0389432611
C1511361511