Peningkatan Gaji Tidak Selari | Institute of Agricultural and Food Policy Studies
» NEWS » Peningkatan Gaji Tidak Selari

Peningkatan Gaji Tidak Selari

PENINGKATAN kos sara hidup yang berlaku pada masa kini disebabkan faktor peningkatan pendapatan yang rendah berbanding dengan kenaikan indeks harga pengguna.

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusof Saari (gambar), pertumbuhan kadar gaji dan upah pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup menyebabkan sebilangan warga kota cenderung melakukan lebih daripada satu pekerjaan.

 

“Terdapat dua faktor yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup iaitu harga (barangan) dan pendapatan. Jika harga naik lima peratus, sementara pendapatan naik dua peratus, maka kuasa beli dan isi rumah akan menurun.

“Melihat kepada trend kenaikan indeks harga pengguna (IHP), tidaklah naik dalam keadaan yang ekstrem. Indeks hanya naik lebih sedikit daripada paras normal. Contohnya, kalau tengok purata (asal) 2.5 peratus, indeks naik kepada 2.7 peratus, jadi kenaikan tersebut masih kecil.

“Namun, kos sara hidup yang tinggi berlaku disebabkan penyusutan pertumbuhan kadar gaji dan upah dalam hampir kebanyakan industri.

“Di dalam industri perlombongan misalnya, peningkatan gaji yang dicatatkan pada 2014 ialah sebanyak 11 peratus, namun pertumbuhan kadar tersebut menurun kepada enam peratus pada 2015 yang disebabkan faktor penurunan harga minyak.

“Melihat peningkatan IHP yang tidak terlalu ketara, sudah tentu tingkat gaji dan upah mempengaruhi kos sara hidup yang semakin meningkat. Justeru, antara faktor utama menyebabkan warga kota terpaksa bekerja lebih daripada satu adalah disebabkan pendapatan yang meningkat dengan kadar sangat kecil berbanding peningkatan harga barangan,” katanya.

Selain itu, permasalahan turut dihadapi daripada segi pasaran buruh yang sangat kompleks dan tidak efisien.

“Apabila merujuk kepada taraf kehidupan, banyak berlaku ketidakpadanan pekerjaan di antara upward dan downward. Sebagai contoh ada yang berkelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi menyandang jawatan sebagai pengurus.

“Namun, peratusannya hanya sedikit kira-kira lima peratus. Selalunya mereka yang memegang jawatan pengurus meskipun berkelulusan SPM disebabkan oleh keluarga mereka yang menjalankan perniagaan sendiri.

“Paling membimbangkan berdasarkan data pada 2014, sebanyak 25 peratus yang bekerja di bahagian pengkeranian dan operasi adalah mereka yang berkelulusan diploma dan ke atas.

“Mereka ada kelayakan yang tinggi tetapi bekerja bukan mengikut kemahiran yang diperlukan. Justeru, ini juga salah satu sebab mengapa golongan menengah lebih terkesan dengan peningkatan harga barang kerana ekonomi negara tidak mencipta peluang pekerjaan yang dikehendaki.

“Justeru, ada dalam kalangan mereka terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan kerana gaji tidak setimpal dengan kelulusan mereka,” katanya.


Updated:: [noorbaiti]

MEDIA SHARING

Institute of Agricultural and Food Policy Studies
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471075
0389432611
C1511298359